Nasihat Menghadapi Banjir
Persediaan Sebelum Banjir:
- Elakkan membina bangunan di kawasan yang berisiko banjir;
- Selenggara parit/ longkang/ saliran air supaya tidak tersumbat;
- Simpan nombor-nombor perhubungan penting seperti nombor ahli keluarga, jiran, balai polis terdekat, bomba untuk kegunaan semasa kecemasan;
- Peka kepada keadaan sekeliling, bunyi/ isyarat-isyarat amaran serta kenalpasti laluan tinggi dan selamat untuk ke pusat pemindahan;
- Bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa;
- Dapatkan maklumat terkini cuaca dan situasi banjir melalui saluran radio, televisyen dan internet;
- Simpan semua dokumen penting di dalam bekas/ beg/ fail di tempat yang tinggi dan mudah diambil sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan;
- Sediakan barang keperluan asas yang paling penting seperti susu anak, ubat-ubatan, lampu suluh, beg pakaian dan peralatan lain sebelum diarah berpindah;
- Simpan barang berharga di tempat tinggi yang tidak ditenggelami air sekiranya berlaku banjir;
- Simpan air bersih di dalam botol untuk kegunaan memasak dan sebagai air minuman;
- Simpan/ ikat dengan ketat barang-barang yang diletakkan di luar rumah seperti perabut taman, basikal, tong sampah dan sebagainya untuk mengelak dihanyutkan banjir;
- Pastikan kenderaan dan peralatan membaiki kenderaan anda berkeadaan baik sebagai persediaan berpindah;
- Letakkan haiwan peliharaan di tempat selamat kerana haiwan tidak dbenarkan untuk dibawa ke pusat pemindahan atas sebab kebersihan dan kesihatan;
- Dapatkan insuran banjir jika berkemampuan.
Apabila Berlaku Banjir:
- Pastikan semua suis elektrik dan suis utama dimatikan untuk mengelakkan kejadian renjatan elektrik;
- Ikuti arahan pihak berkuasa;
- Segera berpindah (ke pusat pemindahan/ rumah saudara lain/ tempat tinggi) seperti yang diarahkan pihak berkuasa;
- Pastikan rumah berkunci dan barang disimpan di tempat tinggi dan selamat sebelum melakukan pemindahan;
- Kenalpasti individu yang mempunyai keperluan khas seperti berpenyakit kronik, kurang upaya, uzur, mengandung dan sebagainya untuk bantuan pemindahan;
- Sentiasa berwaspada ketika memandu pada musim tengkujuh/ banjir dan gunakan laluan selamat yang telah dikenalpasti;
- Jangan memandu mengharungi air banjir kerana dikhuatiri kenderaan akan dihanyutkan air deras;
- Jika terperangkap dalam banjir, hubungi pihak berkuasa untuk bantuan dengan melaporkan keadaan dan kedudukan anda;
- Awasi kanak-kanak dan jangan biarkan mereka bermain di kawasan banjir atau di tepi sungai/ parit/ longkang/ saluran air yang deras; dan
- Jangan keluar rumah dengan mengharungi air banjir kerana bimbang dihanyutkan air deras.
Selepas Banjir Reda:
- Pastikan minum air yang telah dimasak dan elakkan dari meminum air yang telah tercemar;
- Basuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir;
- Jangan makan makanan yang telah dicemari air banjir;
- Lupuskan makanan yang ditinggalkan di dalam bekas/ peti sejuk yang telah dicemari air banjir atau yang telah berbau dan bertukar warna;
- Gunakan air bersih untuk membasuh bekas makanan, mandi, menyediakan makanan atau menyediakan susu bayi;
- Jika terserempak dengan haiwan liar/ berbisa, hubungi pihak berkuasa untuk bantuan;
- Pastikan semua punca elektrik selamat dan tidak terdedah dengan sumber air sebelum menghidupkan suis utama untuk mengelak renjatan elektrik;
- Jika bekalan elektrik masih belum disambungkan, gunakan lampu suluh untuk sumber cahaya; dan
- Jika mengesyaki gas bocor, tutup sumber gas, buka semua tingkap dan pintu dan keluar dari rumah dengan segera.
Sumber dari portalbanjir
Comments
Post a Comment
Terima Kasih sudi singgah, baca dan komen sekali.
Sayang you alls! haha :)